Home > Agro-industri > UMK terokai kajian pembenihan Ketam Nipah

UMK terokai kajian pembenihan Ketam Nipah

KETAM Nipah atau nama saintifiknya Scylla Serrata atau juga dikenali di sebelah utara negara dengan nama ketam nyior antara spesis raja sepit yang mendapat permintaan tinggi di hotel-hotel dan restoran eksklusif pada masa kini.

Harga pasaran ketam nipah mencecah RM28 hingga RM40 sekilogram mempunyai masa depan yang baik untuk dibangunkan oleh pengusaha ternakan dalam industri akuakultur kerana hasilnya mampu memberi pulangan lumayan berbanding makanan laut lain.

Aktiviti ternakan ketam nipah di Malaysia agak kurang popular berbanding dengan ternakan ikan dan udang kerana sumber benih   yang terhad  dan  sehingga  kini benih  ketam   nipah  hanya diperolehi  daripada  sumber  semulajadi.

Masa depan akuakultur di negara ini mempunyai peluang cerah sekiranya diusahakan secara komersial terutamanya melibatkan ternakan hidupan air samada ikan, udang, kerang-kerangan, ketam dan juga rumpai laut.

Namun, industri penternakan ketam nipah kurang popular kerana kajian  mengenai  teknik  penghasilan benih  ketam nipah  secara komersial di seluruh  dunia masih belum  mencapai  kejayaan  walaupun  benih  ketam   nipah berjaya dihasilkan di pusat-pusat penetasan di negara-negara seperti Australia, Vietnam dan Filipina.

Melihat kepada prospek itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Pusat Pengeluaran Perikanan Ikan Laut, Jabatan Perikanan Malaysia, Tanjung Demong, Besut, Terengganu telah menjalankan kajian penghasilan benih ketam nipah dan pengurusan kesihatannya.

Pensyarah Kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) UMK, Dr. Lee Seong Wei berkata, penyelidik UMK mengalas tanggungjawab ini untuk menolong para peternak ketam nipah atas permintaa mereka bagi menyelesaikan masalah benih ketam nipah yang semakin berkurang

Beliau memberitahu, tempoh projek penyelidikan tersebut adalah bermula pada Januari 2010 hingga Disember 2011 dan berkait rapat dengan Program Sains Peternakan di UMK.

“Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan benih ketam nipah dan menghuraikan perkembangan awal embrio serta perkembangan larval di bawah keadaan hatcheri,” katanya.

Tambah beliau, kajian ini bertujuan menggambarkan sifat antibiogram dan profil logam berat daripada komuniti mikrob yang dipencilkan daripada ketam nipah selain untuk mendedahkan sifat anti-mikrobial daripada pengekstrakan tumbuhan herba dalam merencat pertumbuhan bakteria yang dipencilkan daripada ketam nipah.

“Induk betina ketam nipah yang ditangkap daripada laut dipelihara di dalam tangki fiber dan dibekalkan dengan air laut, oksigen, pasir pantai dan paip PVC.

“Ketam akan diberi makan dengan kepah (Meretrix meretrix) setiap hari sebanyak 20 peratus daripada berat badannya dan sebanyak 50 peratus air di dalam tangki ternakan ditukar setiap hari.

“Kualiti air perlu dikawal semasa ternakan dengan parameter air yang optimum iaitu salinliti 30 ppt, oksigen terlarut melebihi 5 ppm, suhu antara 28-30oC dan pH antara 6.5-7.5,” katanya.

Dr. Lee selaku Ketua Projek Penghasilan Benih Ketam Nipah dan Pengurusan Kesihatannya turut dibantu pensyarah FASA, Cik Suniza Anis Muhamad Sukri  dan pelajar siswazah, Cik Syahrizawati Mohd Zohri.

“Proses semula jadi ketam nipah akan bersalin kulit sebelum mengawan atau bertelur dan kebiasaanya ketam betina mampu mengeluarkan telur sebanyak tiga kali untuk setiap kali proses mengawan.

“Ketam betina yang membawa telur dikenali sebagai berried female akan diasingkan dan diletakkan secara individu di dalam tangki penetasan bagi tujuan pengeraman dan penetasan telur,” katanya.

Menurut Dr. Lee, pada masa itu larval ketam nipah yang baru menetas dipanggil zoea akan dimasukkan ke dalam tangki ternakan dengan kadar segera dan diberi makan dengan rotifer, Brachionus rotundiformis (10-15 ind/ml), Artemia salina (0.5-3 ind/ml) dan Chlorella (50000 sel/ml) sebagai makanan kepada rotifer sehingga ke peringkat megalopa.

Jelas beliau, seterusnya aktiviti pemencilan dan pengecaman bakteria daripada induk ketam nipah akan  dilakukan dengan menggunakan lima jenis media iaitu Thiosulphate Citrate Bile Salt (TCBS), Mac Conkey, Cytophaga Agar (CA), Xylose Lysine Deoxycholate (XLD) dan Glutamate Starch Pseudomonas (GSP) yang dieramkan selama 24 hingga 48 jam pada suhu bilik.

“Bakteria yang berjaya dipencilkan daripada induk ketam nipah kemudiannya diuji kerintangan terhadap 16 jenis antibiotik antaranya Nalidixic acid (30µg), Oxolinic acid (2µg), Compound sulphonamides (300µg), Doxycycline (30µg), Tetracycline (30µg) dan Novobiocin (30µg).

“Bakteria yang sama diuji kerintangannya dengan 4 jenis logam berat iaitu mercury (Hg2+), chromium (Cr6+), copper (Cu2+) dan zinc (Zn2+) pada 5 kepekatan berbeza yang berjulat antara 2.5-2400 μg ml-1,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, 30 jenis ekstrak tumbuhan herba yang terdapat di Malaysia diuji sifat kebolehan merencatkan pertumbuhan bakteria yang dipencilkan daripada ketam nipah.

“Pengekstrakan tumbuhan herba ini menggunakan 80 peratus metanol dan 20 peratus air suling yang dibiarkan selama 72 jam dan dikeringkan pada suhu 30oC,” katanya.

Dr. Lee berkata, kajian ini adalah penting untuk penilaian kesihatan spesis ketam nipah bagi tujuan keselamatan makanan berdasarkan kepada bakteria yang berkaitan dengannya.

“Bakteria yang dipencilkan ini mungkin adalah daripada jenis patogenik yang bertindak sebagai vektor dalam pemindahan penyakit kepada manusia. Penggunaan antibiotik komersial sebagai rawatan kepada penyakit bakteria boleh menyebabkan risiko kepada kontaminasi persekitaran,” katanya.

Tambah beliau, oleh itu, pengekstrakkan tumbuhan herba dilakukan bagi menggantikan penggunaan antibiotik yang terdapat dipasaran kini untuk merencat pertumbuhan bakteria.

“Kami berharap hasil daripada projek ini akan dimanfaat kepada para peternak ketam nipah yang menghadapi masalah kekurangan benih ketam nipah,” kata beliau.

 

Petikan asal: http://www.umk.edu.my/my/index.php?option=com_content&view=article&id=338%3Aumk-terokai-kajian-pembenihan-ketam-nipah-&catid=35%3Aberita-umk&Itemid=1

About these ads
Categories: Agro-industri
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: